Didik Al Quran

Monday, June 28, 2010

UNTA MENJADI HAKIM

Sharing is Caring


Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku." 
Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya

KISAH ASAL USUL HAJAR ASWAD

  
Sharing is Caring


Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail bertungkus kumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung. Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata Nabi Ismail berkata, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?"

Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)."
Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mencium cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja. Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih, tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam.

Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah s.w.t., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah. Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) : "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad)."

KUBUR BERKATA-KATA

Sharing is Caring


Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :-

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."
Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." 
Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya

Friday, June 25, 2010

Demonstrasi Anti-Yahudi yang nyata Sia-Sia

Artikel dari Ustaz Pahro<http://genta-rasa.com/2010/06/05/mari-demonstrasi-hari-hari/>l ini amat menarik dan mungkin akan terpalit betul-betul di dahi majoriti orang Melayu kita yang sibuk dengan kempen boikot dan demonstrasi yang kononnya menunjukkan gelagat tidak puas hati terhadap Israel. Kami kongsikan artikel ini untuk bacaan pembaca Oh! Islam yang berminat (nyata tiada paksaan).
**********
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.

“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”
Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.
“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”
“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”
Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cik tersebut dengan senyuman.
“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”
“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”
Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”
“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”
Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “
“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”
Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?
Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!
Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”
Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?
OH ISLAM: SAMPAIKANLAH ILMU WALAU HANYA DENGAN SATU AYAT.

Wednesday, June 23, 2010

Nilai tangan seorang anak

Sharing is Caring
Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar
-meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.
Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun.
Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk
bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah
dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun
memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen
tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,
lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya...
kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas.Apa lagi kanak-kanak
inipun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya
bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan
Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya
gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan
sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari
si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang
baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa
yangbelum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?"
Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia
juga beristighfar.

Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis
tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus
mengatakan "Tak tahu... !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu,
apa kau buat?" herdik si isteri lagi.

Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari
bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh.. cantik kan!"
katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu. Si ayah yang
hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya,
terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak
mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan. Puas
memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si
ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan
hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup
rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.
Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah
menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak
tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Pembantu rumah
memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis.
Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik
calar-balar itu terkena air.

Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja
membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya,
kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu.
"Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan
masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari
berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara siibu juga
begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah.

"Ita demam... " jawap pembantunya ringkas. "Bagi minum panadol tu, "
balas si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik
pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah,
dia menutup semula pintu. Masuk hari keempat, pembantu rumah
memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas.

"Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu.

Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor
mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah
seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak
itu. "Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan
kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu
teruk.

"Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku
kebawah" kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar
mendengar kata-kata itu.

Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu
meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata
isterinya, sibapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran
pembedahan. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang
dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga
melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan
ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat
mereka semua menangis.

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam
linangan air mata. "Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah
pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya
berulangkali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah,
sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat
lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak
conteng kereta lagi, " katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si
ibu mendengar kata-kata anaknya.

Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia
dapat menahannya.

*Ya Allah, Berikan kami kesabaran & ketabahan dalam ape jua ujian mu & jauhi kami dari melakukan perkara-perkara yang engkau murkai...aminnn

Tuesday, June 22, 2010

Cerita Penuh Hikmah

Sharing is Caring


Cube amati cete ni.....ada terselit sesuatu yg bermakna

Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat di pastikan namanya.Masyarakat dalam negara itu hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam.

Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara tu.

Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam. Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat.

Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat.

Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu.

Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian. Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin. Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul.

Cendekiawan pula menunjukkan dua jari pula dan gembala kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul. Kemudian, cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.

Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya.Betul lagi... Lalu cendekiawan tersenyum puas hati. Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan. Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul... Maka tamatlah sesi perdebatan

Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...

"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tunku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallahilahaillallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, dua jari. Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduannamuhammadarrasullullah). "

"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima Betullah... Bila hamba tunjukkan lima jari, maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan enam jari, sebab rukun iman ada enam. "

"Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hamba mengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi. "

"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu? Jawapannya telur... betullah.. Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya. " Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.

Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan ahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala ambing pun bercerita...

" Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong tu. Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing hamba satu. Jadi amba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab lima pun oleh.

Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia. " Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba. Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba. Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak!

Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi... "

Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut.

Sungguh besar keagungan Tuhan... walau dengan cara apa sekalipun islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela.

Monday, June 21, 2010

Anakku Mahu Kahwin!


Saya mahu menjadi seorang doktor.
Saya mahu menjadi seorang askar.
Saya mahu menjadi seorang guru.
Itulah kata-kata kita semasa di usia kanak-kanak. Disoal tentang cita-cita dan kerjaya. Dewasa nanti mahu jadi apa.
Selalunya seorang budak itu akan dipengaruhi oleh apa yang paling mengujakan dirinya. Mungkin seronok melihat aksi tentera. Teruja barangkali menyaksikan polis berseragam kemas dengan kereta yang boleh dipecut sesuka hati. Atau jatuh hati dengan guru yang bijak mengambil hati.
Anak-anak sangat telus dalam mengungkapkan apa yang mendominasi minda.
Kata-kata itu melambangkan siapakah yang sedang mempengaruhi dirinya.
PERBUALAN LUAR BIASA
“Abi, nanti Yop nak kahwinlah!” kata anak saya, Saiful Islam.
Saya terkejut. Menoleh ke arahnya. Mahu tergelak pun ada. Perbualan saya bersama beliau petang itu sangat menggelikan hati. Kami sama-sama menaiki bas dari LCCT menuju ke KLIA. Hanya kami berdua. Suasana lapang di sisi landasan KLIA dan pemandangan pesawat mendarat juga berlepas, menyebabkan kami berkhayal entah ke mana.
“Boleh. Kenapa Yop nak kahwin?” saya cuba memanjangkan perbualan yang pelik itu.
“Nanti Yop boleh jadi ayah macam Abi” jawabnya.
“Kalau nak jadi macam Abi, kena kahwin dengan perempuan yang betul. Yop nak kahwin dengan siapa?” saya bertanya lagi.
“Kahwin dengan perempuanlah” katanya, tegas.
“Perempuan yang macam mana?” saya pula yang galak menyoal.
“Macam Ummilah!” jawab Saiful Islam.
Anak itu berusia 6 tahun. Usia yang mula memerhati sekelilingnya.
SYUKUR
Saat itu amat mencetuskan rasa bangga dan syukur kerana anak saya bukan mahu menjadi seorang jurutera, peguam, tentera, guru, malah tidak juga ustaz. Dia mahu menjadi saya. Bapanya, dan suami kepada ibunya. Mungkin kerana saat saya paling menjadi saya, adalah semasa saya berada di sisi isteri, dan anak-anak kurniaan Ilahi.
Menjadi seorang suami dan bapa, adalah pencapaian paling besar di sepanjang hidup ini. Ia sangat mengajar untuk saya terus memperbaiki diri, belajar sebelum mengajar, memimpin diri sebelum menjadi pemimpin.
Terima kasih Allah… Alhamdulillah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Antara Salah Laku Anak dan Hukuman


Sharing is Caring
“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.
Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.
Mustahil ada yang mahu mengaku.
“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.
Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.
Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.
“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.
JERITAN BIASA
Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.
Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.
Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”
Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikanpuzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.
Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.
Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.
Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.
PRIMUM NON NOCERE
Situasi ini mengingatkan saya kepada satu ungkapan yang sering disebut oleh ahli psikologi malah para doktor di Wad Kecemasan. Kata mereka, “Primum non nocere!” Maksudnya ialah “paling penting, jangan memudaratkan!”
Apa-apa sahaja yang berlaku, pastikan tindakan yang mahu diambil jangan memudaratkan. Ada kalanya, dalam kes-kes di hospital adalah lebih baik untuk tidak memberikan rawatan, berbanding bertindak sesuatu yang mencetuskan mudarat ke atas pesakit. Ia adalah etika perubatan yang penting.
Sama juga halnya dalam proses mendidik anak-anak.
Apa-apa tindakan yang mahu diambil, pastikan jangan ia berakhir dengan kemudaratan. Tatkala kita gagal memutuskan tindakan paling tepat, amat malang jika tindakan kita tidak melontarkan mesej yang betul, sebaliknya menyemai rasa benci dan mahu membalas dendam.
Saya sendiri pernah bertemu dengan anak remaja yang berkhayal mahu terbabit dalam upacara pengebumian bapanya, untuk kepuasan diri!
PSIKOLOGI PENUMBUK
“Aah, ustaz. Saya tak makanlah cadangan-cadangan ustaz. Bagi saya, ini dia namanya psikologi!” kata seorang lelaki sambil menggenggam penumbuk di tangannya.
“Anta technician elektrik, kan?” saya bertanya.
“Ya. Saya jaga bahagian komputer-komputer di makmal kampus ini!” katanya.
“Kalau komputer rosak, anta guna ke penumbuk itu sebagai psikologi untuk memperbaikinya?” saya melontar soal.
“Mana boleh. Komputer mesti diperbaiki mengikut manual” jawabnya tegas. Menghormati profesyennya sendiri.
“Habis kalau anak bermasalah, apakah tiada manualnya lalu diperbaiki hanya dengan penumbuk itu?” saya menyudahkan soalan.
Sepi.
Beliau diam.
Saya pun diam.
Saya bukan marahkan lelaki itu.
Saya marahkan diri saya sendiri. Seorang bapa yang semakin bertambah anak, semakin anak membesar, semakin hilang kepercayaan kepada manual membetulkan tingkah laku anak-anak. Mahu mencari penyelesaian segera. Penyelesaian yang sering berakhir dengan kemudaratan. Anak tidak belajar sesuatu, sebaliknya menambah dendamnya terhadap kita yang semakin gagal menangani dia.
Bukan kerana buruk niat dan tujuan.
Tetapi kerana tiada kemahiran.
Kemahiran yang tidak datang sendiri. Kemahiran yang mesti dipelajari. Dari semasa ke semasa.
CIKGU JATUH
Puan Sabariah adalah guru senior di sebuah sekolah.
Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.
Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.
Sakitnya bukan kepalang.
Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.
Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.
“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.
Kelas sepi.
Ulasan itu sangat berhikmah.
Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.
Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.
HIKMAH KENABIAN
Semasa bapa saudara kepada Abu Rafi ibn Amr al-Ghifari seorang anak kecil, beliau gemar membaling batu ke pokok-pokok tamar kaum Ansar.
Budak itu dibawa mengadap Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Beliau takut. Bimbang dihukum oleh Baginda.
“Wahai budak, mengapa kamu membaling batu ke pokok-pokok tamar itu?” Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
“Saya membaling batu ke pokok-pokok tamar itu kerana mengharapkan buah tamar gugur dan saya boleh memakannya” jawab budak itu.
Jujur.
Bukan jahat, tetapi bingung pada usianya.
“Jangan baling batu ke pokok-pokok tamar. Tetapi makan sahajalah apa-apa yang sudah (ranum dan) gugur di bawahnya” nasihat Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Lalu Baginda mengusap kepala budak itu sambil berdoa, “Ya Allah, kenyangkanlah budak ini”
Baginda sentiasa demikian.
Konsisten.
Mempamerkan bahawa komunikasi efektif adalah cara terbaik pada membetulkan keadaan.
Jauh dari hukuman yang jarang-jarang sekali menawarkan penyelesaian.
SALING MEMBERANAKKAN
Salah laku dan hukuman bukan antonim yang saling membatal dan menyelesaikan. Malah kedua-duanya memberanak dan menyuburkan lagi antara satu sama lain. Salah laku memberanakkan lebih banyak hukuman semberono. Hukuman semberono membanyakkan lagi salah laku. Hukuman yang tidak tepat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia mengajar anak-anak untuk lebih bijak dan licik melepaskan diri.
Siapa kata mendidik anak mudah?
Pastinya, saya tidak pernah berani berkata begitu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG