Didik Al Quran

Monday, June 21, 2010

Anakku Mahu Kahwin!


Saya mahu menjadi seorang doktor.
Saya mahu menjadi seorang askar.
Saya mahu menjadi seorang guru.
Itulah kata-kata kita semasa di usia kanak-kanak. Disoal tentang cita-cita dan kerjaya. Dewasa nanti mahu jadi apa.
Selalunya seorang budak itu akan dipengaruhi oleh apa yang paling mengujakan dirinya. Mungkin seronok melihat aksi tentera. Teruja barangkali menyaksikan polis berseragam kemas dengan kereta yang boleh dipecut sesuka hati. Atau jatuh hati dengan guru yang bijak mengambil hati.
Anak-anak sangat telus dalam mengungkapkan apa yang mendominasi minda.
Kata-kata itu melambangkan siapakah yang sedang mempengaruhi dirinya.
PERBUALAN LUAR BIASA
“Abi, nanti Yop nak kahwinlah!” kata anak saya, Saiful Islam.
Saya terkejut. Menoleh ke arahnya. Mahu tergelak pun ada. Perbualan saya bersama beliau petang itu sangat menggelikan hati. Kami sama-sama menaiki bas dari LCCT menuju ke KLIA. Hanya kami berdua. Suasana lapang di sisi landasan KLIA dan pemandangan pesawat mendarat juga berlepas, menyebabkan kami berkhayal entah ke mana.
“Boleh. Kenapa Yop nak kahwin?” saya cuba memanjangkan perbualan yang pelik itu.
“Nanti Yop boleh jadi ayah macam Abi” jawabnya.
“Kalau nak jadi macam Abi, kena kahwin dengan perempuan yang betul. Yop nak kahwin dengan siapa?” saya bertanya lagi.
“Kahwin dengan perempuanlah” katanya, tegas.
“Perempuan yang macam mana?” saya pula yang galak menyoal.
“Macam Ummilah!” jawab Saiful Islam.
Anak itu berusia 6 tahun. Usia yang mula memerhati sekelilingnya.
SYUKUR
Saat itu amat mencetuskan rasa bangga dan syukur kerana anak saya bukan mahu menjadi seorang jurutera, peguam, tentera, guru, malah tidak juga ustaz. Dia mahu menjadi saya. Bapanya, dan suami kepada ibunya. Mungkin kerana saat saya paling menjadi saya, adalah semasa saya berada di sisi isteri, dan anak-anak kurniaan Ilahi.
Menjadi seorang suami dan bapa, adalah pencapaian paling besar di sepanjang hidup ini. Ia sangat mengajar untuk saya terus memperbaiki diri, belajar sebelum mengajar, memimpin diri sebelum menjadi pemimpin.
Terima kasih Allah… Alhamdulillah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

3 comments:

  1. Kalau betul didikan insyaALLAH anak boleh jadi lebih baik dari kita... itulah yang sedang diusahakan... semoga ALLAH SWT berikan kita dan keturunan kita kejayaan dunia akhirat... Amin Ya ALLAH...

    ReplyDelete
  2. kalau betul didikan insyaALLAH anak akan jadi lebih baik dari kita... itulah yang sedang diusahakan... semoga ALLAH SWT berikan kita dan keturunan kita kejayaan di dunia & akhirat. amin ya ALLAH...

    ReplyDelete
  3. Insyallah. semoga Allah permudahkan jalan kita memdidik mereka, aminnnn..

    ReplyDelete