Didik Al Quran

Wednesday, June 23, 2010

Nilai tangan seorang anak

Sharing is Caring
Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar
-meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.
Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun.
Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk
bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah
dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun
memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen
tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,
lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya...
kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas.Apa lagi kanak-kanak
inipun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya
bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan
Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya
gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan
sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari
si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang
baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa
yangbelum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?"
Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia
juga beristighfar.

Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis
tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus
mengatakan "Tak tahu... !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu,
apa kau buat?" herdik si isteri lagi.

Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari
bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh.. cantik kan!"
katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu. Si ayah yang
hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya,
terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak
mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan. Puas
memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si
ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan
hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup
rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.
Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah
menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak
tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Pembantu rumah
memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis.
Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik
calar-balar itu terkena air.

Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja
membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya,
kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu.
"Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan
masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari
berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara siibu juga
begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah.

"Ita demam... " jawap pembantunya ringkas. "Bagi minum panadol tu, "
balas si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik
pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah,
dia menutup semula pintu. Masuk hari keempat, pembantu rumah
memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas.

"Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu.

Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor
mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah
seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak
itu. "Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan
kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sudah terlalu
teruk.

"Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku
kebawah" kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar
mendengar kata-kata itu.

Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu
meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata
isterinya, sibapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran
pembedahan. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang
dikenakan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga
melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan
ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat
mereka semua menangis.

Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam
linangan air mata. "Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah
pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya
berulangkali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah,
sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

"Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat
lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak
conteng kereta lagi, " katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si
ibu mendengar kata-kata anaknya.

Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia
dapat menahannya.

*Ya Allah, Berikan kami kesabaran & ketabahan dalam ape jua ujian mu & jauhi kami dari melakukan perkara-perkara yang engkau murkai...aminnn

No comments:

Post a Comment